KOTA KINABALU: Sebuah jawatankuasa khas melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditubuhkan bagi merangka mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63), berkata jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan bertanggungjawab membentangkan laporan kepada JKTMPMA63, namun turut diberi ruang untuk melapor terus kepada Jemaah Menteri berhubung perkembangan rundingan serta mekanisme pelaksanaan yang dicadangkan.
“Tempoh masa yang diberikan sangat singkat. Rundingan sudah bermula hari ini seiring penubuhan jawatankuasa ini. Jika boleh, saya mahu mekanisme pelaksanaan dapat diperincikan segera.
“Saya menunggu laporan penuh dan cadangan mereka. Yang penting, jawatankuasa ini telah ditubuhkan dan kini berfungsi untuk mengemukakan cadangan rasmi kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, pada Isnin lapor Bernama.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah selama hampir empat dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua pihak perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah.
Fadillah berkata, jawatankuasa tersebut akan membincangkan skop tugasan serta tanggungjawab pelaksanaan tuntutan itu, termasuk rundingan lanjut bersama kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 pada 29 November.
“Kerajaan Persekutuan sudah membuat keputusan untuk tidak merayu terhadap keputusan tuntutan 40 peratus. Jadi, keputusan Kabinet ialah untuk meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri.
“Sebelum PRN, kerajaan negeri berada dalam status kerajaan sementara, jadi pertemuan hari ini lebih kepada penyelarasan awal,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang turut dihadiri Safar, Johan, serta Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.
— TAMAT
