KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim, bertekad memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemudahan asas di kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Japlin yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Usukan sehingga tahun 2020 berkata, peluang diberikan semula oleh akar umbi untuk mewakili GRS merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, meskipun pelbagai pembangunan telah dilaksanakan, masih terdapat beberapa isu utama yang memerlukan perhatian segera terutama melibatkan keperluan asas penduduk.
“Sudah tentu, jika sekali lagi diberikan mandat oleh rakyat, keutamaan saya adalah memastikan usaha membela dan memperbaiki prasarana asas seperti jalan kampung, bekalan elektrik serta akses kepada air bersih dapat terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Inilah impian kita — agar kemudahan asas di Usukan berada pada tahap yang lebih baik dan selesa untuk rakyat,” katanya.
Japlin turut menegaskan bahawa pendekatan turun padang akan terus menjadi keutamaan beliau untuk memastikan setiap pembangunan membawa manfaat menyeluruh kepada masyarakat setempat.
“Saya mahu terus dekat dengan rakyat dan memastikan setiap perancangan pembangunan benar-benar menyentuh keperluan mereka. Usukan mempunyai potensi besar dan kita mahu memastikan kawasan ini terus maju,” katanya.
— TAMAT
