KOTA KINABALU: Sabah adalah wilayah yang berdaulat dalam Malaysia dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kenyataan oleh Senator Filipina, Robin Padilla mengenai tuntutan terhadap negeri ini adalah tidak releven.
“Selalunya sekiranya di sana kalau dekat dengan pilihan raya, mereka timbulkan isu seumpamanya.
“Tetapi sudah jelas daripada awal, negeri Sabah rakyatnya sudah membuat keputusan untuk bersama-sama Malaysia…ini tidak boleh dipersoalkan lagi ,” katanya semasa ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah, di sini hari ini.
Beliau berkata, Sabah adalah wilayah yang berdaulat dalam Malaysia dan mereka tidak boleh mengeluarkan kenyataan seumpamanya atau dijadikan isu semula.
Berkenaan dengan pemberian subsidi petrol dan diesel kepada Sabah dan Sarawak. Hajiji menjelaskan usaha itu masih diteruskan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sangat memahami keadaan terkini.
“Kini terdapat peperangan di Timur Tengah, jadi kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan ini dan kita tengok macam mana nanti.
“Negara lain telah pun menghadapi krisis tenaga dan kita di Malaysia, khususnya Sabah bernasib baik belum ada krisis, tapi kita harus terus pantau.
“Kalau perperangan ini berterusan, kemungkinan kita juga akan mengalami atau terjejas daripada kesan perperangan itu,” katanya.
Baru-baru ini, Robin Padilla mencetuskan kontroversi apabila menggesa Presiden Filipina menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk mencadangkan penghantaran wakil sebagai simbol tindakan.
Untuk rekod, Sabah kekal sebagai wilayah berdaulat Malaysia sejak pembentukan negara pada 1963 dan kedudukannya tidak pernah berubah walaupun berdepan tuntutan luar.
Dalam pada itu, kira-kira 20,000 orang menghadiri majlis itu yang diserikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin bersama Ketua Menteri dan isteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Hajiji berkata, majlis itu diadakan kerana ia merupakan tradisi dan memberi ruang kepada rakyat pelbagai kaum untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk negeri kita yang berbilang kaum ini. Kita gunakan ruang ini untuk merapatkan lagi silaturahim,” katanya.
