TULID:Prihatin terhadap keperluan penduduk luar bandar, Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng, menyalurkan sumbangan khas bagi tujuan pembaikan Jalan Kebun Awou sepanjang dua kilometer di kawasan ini.
Sumbangan berkenaan diserahkan kepada wakil komuniti setempat, Encik Kahipin Esim, sebagai usaha meningkatkan kemudahan asas serta keselamatan penduduk yang bergantung kepada laluan tersebut untuk ke kebun dan menjalankan aktiviti harian mereka.
Flovia berkata, bantuan itu susulan maklum balas daripada penduduk tempatan yang menghadapi kesukaran menggunakan jalan tersebut, terutama ketika musim hujan apabila keadaan jalan menjadi rosak dan licin.
“Penduduk Kampung Awou banyak bergantung pada jalan ini untuk kegiatan ekonomi, termasuk menghantar hasil pertanian dan mengangkut barangan keperluan harian. Saya berharap pembaikan ini akan memudahkan urusan mereka dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat kampung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Flovia yang juga dikenali sebagai wakil rakyat aktif di kawasan pedalaman berkata, inisiatif seperti ini sejajar dengan komitmen beliau untuk memperkukuh infrastruktur luar bandar agar tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
“Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menitikberatkan pembangunan menyeluruh termasuk jalan luar bandar, kerana akses jalan yang baik amat penting untuk menjana ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas kerjasama dan semangat gotong-royong yang ditunjukkan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
“Pendekatan sebegini perlu diteruskan. Kita mahu pembangunan luar bandar dilakukan secara inklusif dengan penglibatan komuniti tempatan,” katanya.
— TAMAT
