Hajiji seru rakyat hormati perbezaan demi perpaduan Sabah

TAMPARULI: Ketua Menteri, Hajiji Noor menggesa rakyat Sabah agar terus menghormati perbezaan antara satu sama lain demi memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau berkata perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu hati serta saling menghargai kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang yang menjadi identiti unik Sabah.

“Perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Angpau 2026 anjuran Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 persatuan Cina lain di Dewan Tun Hamdan, di sini, malam ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun.

Datuk Ceasar Mandela Malakun bergambar bersama tetamu kehormat serta para hadirin sempena Pesta Angpau di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran program yang memperkukuh perpaduan rakyat, memelihara keharmonian antara kaum serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan budaya, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pesta Angpau ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat mampu membawa manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengulangi harapan agar rakyat terus bersama kerajaan sebagai rakan strategik dalam memperkukuh perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar menerusi pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

Katanya, masyarakat Tionghua khususnya digalakkan untuk terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan kerajaan negeri dalam memacu kemajuan Sabah.

Hajiji berkata Pesta Angpau bukan sekadar acara perayaan, malah platform penting untuk memelihara, meneruskan dan berkongsi budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua kepada seluruh rakyat.

Menurutnya, usaha itu turut membuka ruang untuk memperkenalkan budaya tempatan ke peringkat lebih luas termasuk di persada antarabangsa.

“Lebih membanggakan, penganjuran pesta ini turut menggalakkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan identiti Sabah yang terkenal sebagai negeri aman, harmoni dan penuh toleransi. “Inilah kekuatan sebenar kita – kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles