Balai Raya Panasaan bukti komitmen GRS perkukuh pembangunan akar umbi

TELUPID:Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum, menyifatkan pembinaan Balai Raya Komuniti Panasaan di Kampung Kopuron sebagai simbol kesatuan masyarakat luar bandar serta bukti keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan akar umbi.

Beliau berkata, projek itu yang telah lama dinantikan oleh penduduk akhirnya berjaya direalisasikan pada tahun ini selepas permohonan dibentangkan dalam Mesyuarat Cawangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Panasaan, Kampung Kopuron, pertengahan tahun lalu.

“Syukur, tahun ini impian penduduk untuk memiliki balai raya baharu akhirnya menjadi kenyataan. Walaupun Kampung Kopuron terletak agak jauh dari pusat daerah, semangat masyarakat di sini tetap kental dan bersatu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Raya Komuniti Panasaan, baru-baru ini.



Jonnybone berkata, balai raya baharu itu bukan sekadar tempat berhimpun, tetapi juga akan menjadi pusat komuniti yang mencetus pelbagai aktiviti sosial, ekonomi dan kemasyarakatan di kawasan Panasaan dan sekitarnya.

“Saya amat menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini — daripada peringkat permohonan hingga ke pembinaannya. Balai raya ini kini menjadi bukti bahawa apabila masyarakat bersatu, segala impian dapat direalisasikan,” ujarnya.

Beliau menambah, pembangunan kemudahan komuniti seperti ini amat penting bagi memperkukuh jaringan sosial serta memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menganjurkan pelbagai program pembangunan modal insan.

“Semoga balai raya ini menjadi nadi perpaduan masyarakat serta tempat lahirnya lebih banyak inisiatif bermanfaat kepada penduduk Panasaan,” katanya.

TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles