TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal, yakin bahawa pencalonannya mampu membawa kejayaan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Beliau berkata keyakinan tersebut hadir daripada sokongan padu seluruh jentera parti dan kepimpinan GRS yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuai perjuangan di Tanjung Batu.
“Saya berterima kasih kepada seluruh jentera Bahagian N71 Tanjung Batu serta pucuk pimpinan yang telah memilih saya sebagai calon.
“Sebagai anak muda, jika rakyat memberikan mandat, saya akan memastikan penduduk Tanjung Batu menikmati pembangunan lebih baik dan suara generasi muda dibawa terus ke Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika ditemui di sini.
Mengulas soal prestasi mantan ADUN Tanjung Batu, Dr. Andi berkata penyandang sebelumnya telah memberikan kepimpinan yang cemerlang, namun beliau percaya mampu membawa pembaharuan ke kawasan itu.
“Saya mengakui mantan ADUN sangat cemerlang. Tetapi dengan pengalaman saya dalam pentadbiran kerajaan, saya yakin dapat memimpin jentera dan bekerjasama dengan rakyat untuk memajukan Tanjung Batu ke tahap lebih baik,” katanya.
Menepis spekulasi kononnya pemilihannya dibuat secara mengejut, Dr. Andi menjelaskan keputusan itu dibuat setelah pucuk pimpinan menilai profil, kemampuan dan ciri kepimpinan yang dimilikinya.
“Ketua Menteri dan kepimpinan parti yakin dengan kemampuan saya. Pilihan raya kali ini sangat penting dan saya percaya dengan kepercayaan yang diberikan, kita mampu membawa kemenangan di Tanjung Batu,” katanya.
Sekiranya diberi mandat, beliau menggariskan tiga tumpuan yang akan menjadi keutamaan:
Kesihatan & Kebajikan – memastikan penduduk mendapat perkhidmatan lebih baik dan menyeluruh.
Suara Anak Muda – mengangkat isu, idea dan aspirasi golongan muda ke peringkat Dewan Undangan Negeri.
Pendigitalan Ekonomi – memperkasa perniagaan tempatan melalui transformasi digital bagi merancakkan ekonomi setempat.
Yakin sokongan akar umbi bakal kembalikan DUN Tanjung Batu kepada GRS
Dr. Andi turut menegaskan bahawa sokongan jentera parti, terutama dari sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis, memberikan kekuatan besar kepada GRS.
“Saya yakin 100 peratus bahawa dengan sokongan jentera dan rakyat di akar umbi, kita mampu menawan semula kerusi Tanjung Batu. Insya-Allah, kita akan menang,” katanya.
— TAMAT
