Sekolah mesti kekal tempat selamat untuk pelajar: Wanita UPKO

KOTA KINABALU:Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa langkah keselamatan di sekolah seluruh negara diperkukuh bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Ketua Pergerakan Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom, berkata beberapa insiden membabitkan keselamatan pelajar sejak kebelakangan ini perlu menjadi peringatan bahawa aspek perlindungan di sekolah tidak boleh dipandang ringan.

Gesaan itu dibuat susulan kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, baru-baru ini, dengan kes berkenaan dilaporkan sedang disiasat pihak berkuasa.

Mohina berkata, beberapa kejadian lain membabitkan pelajar sebelum ini turut menunjukkan keperluan supaya langkah pencegahan, pemantauan dan perlindungan di kawasan sekolah dinilai serta diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Jika perlu, jumlah pengawal keselamatan di sekolah wajar ditambah, manakala cadangan penempatan polis bantuan juga boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian usaha meningkatkan tahap keselamatan.

“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga perlu diperluaskan, terutama di lokasi yang dikenal pasti berisiko atau kurang mendapat pengawasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rondaan oleh pengawal keselamatan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan kawasan sekolah mendapat pemantauan sewajarnya.

Menurutnya, langkah itu bukan bertujuan menjadikan sekolah sebagai kawasan yang terlalu dikawal, sebaliknya sebagai tindakan pencegahan selain membantu pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden.

Pada masa sama, Mohina menggesa program kesedaran mengenai buli, keganasan, keselamatan diri, kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berterusan.

Beliau berkata, pelajar perlu diberi kefahaman mengenai hak mereka untuk berada dalam persekitaran yang selamat, serta digalakkan melaporkan sebarang ancaman, gangguan atau tingkah laku mencurigakan kepada guru dan pihak sekolah.

“Pelajar juga perlu mengetahui saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan dan berasa yakin bahawa setiap aduan atau kebimbangan yang disampaikan akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Mohina turut mencadangkan supaya kapasiti perkhidmatan kaunseling di sekolah diperkukuh, termasuk menerusi penambahan kaunselor serta penyediaan perkhidmatan yang lebih mudah diakses pelajar.

Beliau berkata, mekanisme penilaian dan pemantauan berterusan juga penting bagi membantu mengenal pasti lebih awal pelajar yang memerlukan sokongan emosi, psikososial atau kaunseling.

Bagaimanapun, beliau berkata proses berkenaan perlu dilaksanakan secara profesional dan beretika serta tidak memberikan stigma kepada pelajar.

“Keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama. Ia memerlukan kerjasama erat antara kementerian, pihak sekolah, pengawal keselamatan, ibu bapa, kaunselor, polis dan komuniti setempat.

“Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak kita belajar, berkembang dan membina masa depan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles