KOTA BELUD:Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan Khas Tanah Negeri Sabah (PANTAS) diserahkan kepada penduduk sembilan kampung di kawasan Kadamaian, membabitkan keluasan keseluruhan 694.92 ekar.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata penyerahan geran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan mempercepatkan penyelesaian urusan hak milik tanah rakyat yang memenuhi syarat kelayakan.
Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata pemilikan geran tanah memberikan kepastian serta pengiktirafan rasmi terhadap hak milik rakyat, selain penting bagi menjamin kepentingan keluarga untuk jangka panjang.
“Dokumen ini penting bagi melindungi kepentingan keluarga, mengurangkan pertikaian dan memastikan kedudukan tanah dapat diwariskan dengan lebih jelas kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2026 sempena Mini Karnival Usahawan IKS Sabah di Dewan Kadamaian Square, di sini, Jumaat.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata geran berkenaan diserahkan kepada penduduk Kampung Kiau Taburi, Kiau Bersatu, Kiau Nuluh, Tomis Lubing, Tambatuan, Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Nariou dan Melangkap Baru.
Menurutnya, Kampung Tambatuan menerima jumlah tertinggi iaitu 117 geran membabitkan keluasan 256.46 ekar, diikuti Kampung Kiau Bersatu dengan 98 geran meliputi kawasan seluas 132.49 ekar.
Kampung Kiau Nuluh pula menerima 69 geran, Kiau Taburi (54), Melangkap Tomis (43), Melangkap Baru (41), Melangkap Tiong (30), Melangkap Nariou (30) dan Tomis Lubing (25).
Ewon berkata, Program PANTAS yang dilaksanakan menerusi Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sejak 2011 bertujuan mempercepatkan kerja pengukuran tanah Anak Negeri serta penyelesaian urusan pemberian hak milik tanah.
Beliau berkata, sehingga Jun 2025, sebanyak 70,436 lot tanah adat membabitkan keluasan 488,705 ekar telah diukur menerusi program berkenaan dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM251.34 juta.
“Saya berharap penduduk kampung yang menerima geran tanah dapat menjaga dan mengusahakan tanah berkenaan demi kesejahteraan keluarga.
“Kerajaan akan terus berusaha memastikan urusan tanah rakyat diselesaikan secara teratur, telus dan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, usaha mendapatkan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan PANTAS perlu diberi perhatian supaya lebih banyak kampung dan penduduk dapat menikmati manfaat program berkenaan.
Sebagai ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang, Ewon berkata beliau akan terus mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan untuk kesinambungan program itu.
“Saya yakin Program PANTAS dapat diteruskan. Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya juga akan terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan.
“Perkara ini sudah saya bangkitkan dalam sidang Parlimen sebelum ini, termasuk ketika saya berada dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan. Saya yakin perbincangan dan kerjasama ini akan berterusan,” katanya.
