KOTA KINABALU:Golongan muda yang berdepan masalah penyalahgunaan dadah perlu didekati menerusi bimbingan, sokongan dan intervensi awal bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih sihat dan positif.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pendekatan pencegahan dadah memerlukan penglibatan bersama keluarga, masyarakat dan institusi berkaitan, khususnya dalam mengenal pasti golongan muda yang berisiko.
Beliau berkata, mereka yang sudah berdepan masalah atau menunjukkan tanda-tanda terlibat dalam penyalahgunaan dadah tidak seharusnya dibiarkan menghadapi situasi itu sendirian.
“Kita perlu mendekati mereka, membimbing, memberi nasihat dan melibatkan mereka dalam aktiviti yang dapat membina keyakinan diri serta memastikan mereka mengisi masa dengan perkara yang positif, bukannya sekadar menghukum mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Sihat, Jom Bebas Dadah Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, Donggongon, Selasa.
Julita berkata, keluarga — khususnya ibu bapa — mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang membolehkan anak-anak berkongsi masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
Menurutnya, komunikasi tidak semestinya bermula dengan perkara yang rumit, sebaliknya boleh diwujudkan menerusi rutin harian seperti meluangkan masa dan makan bersama.
“Kadang-kala, perkara yang mudah seperti makan malam bersama boleh mewujudkan peluang itu.
“Apabila kita duduk dan makan bersama, ketepikan telefon dan berbual dengan anak-anak, kita dapat mengetahui apa yang mereka lalui, memberi nasihat dan mengeratkan hubungan dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda yang menunjukkan kecenderungan kepada aktiviti tidak sihat juga perlu digalakkan menyertai kegiatan berfaedah yang mampu membina keyakinan diri dan membantu mereka mengisi masa secara positif.
Di peringkat komuniti, Julita berkata pemimpin masyarakat, institusi agama dan penduduk setempat juga mempunyai tanggungjawab membantu golongan muda serta keluarga yang berdepan masalah berkaitan dadah.
“Di peringkat komuniti, kita tidak seharusnya membiarkan golongan muda dan keluarga mereka berdepan masalah ini sendirian.
“Jika perlu, kita hendaklah mendekati mereka, memberikan nasihat dan sokongan serta melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Julita, yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah, berkata kerajaan negeri bersama PEMADAM, Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) serta pihak berkepentingan terus melaksanakan program pencegahan dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha di peringkat institusi perlu disokong dengan intervensi berterusan di akar umbi supaya golongan berisiko dapat dikenal pasti dan dibantu lebih awal.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan, keluarga dan komuniti merupakan antara elemen penting dalam memperkukuh usaha pencegahan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal; Naib Pengerusi PEMADAM Sabah, Datuk Maria Chong; Setiausaha Kehormat PEMADAM Sabah, Alijah Ismail; Bendahari PEMADAM Sabah, Noemi Dyena Jon Tren; Pengerusi PEMADAM Penampang merangkap Pengerusi KOSPEN Penampang, Jais Asri; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Haslina Ismail; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Rina AB Harun; serta wakil agensi dan pemimpin setempat.
