TENOM: Usaha meningkatkan amalan penyusuan susu ibu di Sabah perlu disokong dengan ekosistem yang kukuh bagi memastikan setiap ibu mempunyai ruang, masa dan sokongan untuk meneruskan penyusuan dengan baik.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki, berkata pendekatan terhadap penyusuan susu ibu tidak seharusnya tertumpu kepada usaha menggalakkan ibu semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai cabaran yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, walaupun kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu semakin meningkat, masih ramai ibu berdepan kekangan termasuk tuntutan pekerjaan, tanggungjawab keluarga serta kekurangan sokongan di tempat kerja dan dalam komuniti.
“Cabaran kita bukan sekadar menggalakkan ibu menyusukan anak, tetapi memastikan setiap ibu, tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal, mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah dan Konvensyen Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) Negeri Sabah 2026, di sini, Khamis.
Julita berkata, penyusuan susu ibu bukan sekadar berkaitan pemakanan, malah menjadi antara asas penting dalam memberikan permulaan kehidupan terbaik kepada bayi menerusi nutrisi yang lengkap serta menyokong kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.
Pada masa sama, beliau berkata amalan itu turut menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan modal insan berkualiti untuk masa depan negeri.
“Pembangunan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau ekonomi, tetapi juga melalui kualiti generasi yang kita bentuk sejak hari pertama kehidupan,” katanya.
Julita berkata, kejayaan penyusuan susu ibu tidak seharusnya diletakkan di bahu ibu sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen bersama daripada keluarga, majikan, komuniti, petugas kesihatan serta kerajaan.
Menurutnya, persekitaran yang memahami keperluan ibu dan menyediakan sokongan sewajarnya amat penting bagi membolehkan mereka membuat pilihan terbaik untuk diri serta anak masing-masing.
“Pemerkasaan sebenar berlaku apabila wanita diberikan masa, ruang, perlindungan dan sokongan untuk membuat pilihan terbaik demi dirinya dan anaknya,” katanya.
Beliau berharap sistem sokongan terhadap ibu menyusu dapat terus diperkukuh di seluruh Sabah supaya setiap bayi, tanpa mengira latar belakang keluarga atau lokasi tempat tinggal, mempunyai peluang yang sama untuk mendapat permulaan kehidupan terbaik.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis; Penolong Pegawai Daerah Tenom, Dr. Zulasri Pitting; Timbalan Ketua Polis Daerah Tenom, DSP Samsualan Sam; serta Pengerusi AKSSI, Aidah John.
