Loji Kabang 90 peratus siap — bekalan air Papar bakal bertambah baik

PAPAR:Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan loji muka sauk baharu di Kabang dijangka mula beroperasi menjelang hujung tahun ini, sekali gus meningkatkan kapasiti bekalan air serta membantu mengatasi masalah gangguan bekalan di Papar, Putatan dan Kimanis.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kedua-dua projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam menangani isu bekalan air yang sekian lama membelenggu rakyat.

Beliau berkata, LRA Kogopon yang berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dijadualkan mula membekalkan air pada November, manakala loji muka sauk Kabang dijangka mula beroperasi pada September.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya memantau pelaksanaan kedua-dua projek secara rapi bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.

TINDAKAN SEGERA: Hajiji mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah memantau rapi pelaksanaan LRA Kogopon dan loji muka sauk Kabang bagi memastikan kedua-dua projek disiapkan mengikut jadual, menegaskan rakyat sudah lama menunggu penyelesaian kepada isu bekalan air.

“Saya mahu Jabatan Air memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek ini kerana rakyat sudah lama menunggu penyelesaian kepada isu bekalan air.

“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited untuk menyelesaikannya,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan kedua-dua projek di Langkah Syabas Resort, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, beliau sendiri menerima banyak aduan daripada rakyat berkaitan gangguan bekalan air dan berharap Jabatan Air terus mempertingkatkan tindakan segera, termasuk menghantar lori tangki air ke kawasan yang terjejas di Papar serta daerah lain di seluruh Sabah.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh, memaklumkan projek LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijangka mula membekalkan air menjelang penghujung November, walaupun keseluruhan projek dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.

Menurut beliau, apabila mula beroperasi kelak, loji berkapasiti 80 MLD itu akan membantu memenuhi keperluan bekalan air di Papar, Putatan sehingga Kimanis.

Chee turut memaklumkan projek loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta kini telah mencapai kemajuan fizikal kira-kira 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September tahun ini.

Loji muka sauk baharu itu dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang sering menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka meningkatkan kapasiti pengambilan air daripada sembilan MLD kepada 30 MLD, sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan sistem bekalan air di kawasan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles