Kesibukan bukan penghalang wanita dekati Al-Quran

KOTA KINABALU:Kesibukan mengurus keluarga, kerjaya dan masyarakat bukan penghalang bagi wanita untuk terus mendalami ilmu Al-Quran serta memperkukuh penghayatan terhadap ajaran Islam.

Pengerusi Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata wanita hari ini telah membuktikan kemampuan mereka mengimbangi pelbagai tanggungjawab, termasuk meluangkan masa mengikuti pengajian Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah.

Beliau berkata, usaha berterusan itu mencerminkan kesungguhan wanita dalam memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Ini membuktikan wanita bukan sahaja cemerlang dalam pelbagai bidang, malah sentiasa berusaha memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalan Al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran PPS yang dianjurkan oleh Biro Agama PPS di Dewan PPS, Sembulan, di sini, hari ini.

Pertandingan itu disertai 10 peserta yang terdiri daripada Ahli Terus PPS serta wakil cawangan dari seluruh Sabah.

Azizah berkata, penganjuran pertandingan berkenaan bukan sekadar mencungkil bakat qariah, malah menjadi platform menggalakkan pembacaan Al-Quran secara bertajwid, memperkukuh ukhuwah dalam kalangan ahli serta melahirkan wakil PPS yang mampu bersaing pada pertandingan di peringkat lebih tinggi.

Beliau turut menggesa lebih ramai wanita menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan terus istiqamah menghadiri kelas-kelas pengajian agama walaupun berdepan pelbagai komitmen harian.

Menurutnya, pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera bermula dengan penghayatan nilai-nilai Islam yang kukuh, manakala wanita memainkan peranan penting sebagai pendidik utama dalam institusi keluarga.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan kehadiran ahli-ahli PPS serta para jemputan yang hadir memberikan sokongan kepada semua peserta.

Azizah berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan sebagai usaha memperkukuh syiar Islam, memupuk semangat silaturahim dan melahirkan lebih ramai wanita yang berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles