BEAUFORT: Pemimpin akar umbi perlu terus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi memastikan setiap dasar, program dan agenda pembangunan dapat disampaikan secara tepat, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha pembangunan negara.
Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, berkata pemimpin masyarakat berada di barisan hadapan kerana paling hampir dengan rakyat dan menjadi saluran penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih serta tepat.
Beliau berkata, tanggungjawab itu semakin mencabar dalam era media sosial yang menyaksikan lambakan maklumat, termasuk berita palsu dan kandungan yang mengelirukan.
“Pemimpin masyarakat perlu menjadi ejen penyampai maklumat yang bertanggungjawab dengan memastikan setiap maklumat disemak kesahihannya sebelum dikongsikan kepada masyarakat.
“Berita palsu, fitnah dan maklumat mengelirukan bukan sahaja boleh mencetuskan salah faham, malah berpotensi menjejaskan keharmonian, perpaduan dan kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Dewan Pa Musa, Beaufort, Selasa.
Kira-kira 900 peserta menghadiri seminar anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM Sabah itu, terdiri daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) serta pemimpin masyarakat.
Turut hadir Pengarah AKM Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; serta pegawai daripada AKM, UPPM Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Awang Kadin berkata, pemimpin masyarakat juga perlu terus menghayati prinsip Rukun Negara dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian melalui amalan saling menghormati, bertoleransi serta memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti.
Menurutnya, aspirasi Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) hanya dapat direalisasikan sekiranya pemimpin akar umbi terus berintegriti, berwibawa dan memainkan peranan sebagai jambatan yang kukuh antara kerajaan dengan rakyat. “Saya berharap seminar ini dapat memperkukuhkan semangat kenegaraan, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan serta melahirkan rakyat yang lebih berinformasi, berintegriti dan menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI serta Sabah Maju Jaya,” katanya.
