Perangi rasuah tanpa memilih bulu, hormati proses undang-undang

KOTA KINABALU: Usaha membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa memilih bulu kerana jenayah itu melibatkan kedua-dua pihak, iaitu pemberi dan penerima, kata wakil Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), Siti Syahfarahain Mohammad Syahrul.

Beliau berkata, tindakan undang-undang hendaklah dikenakan secara adil terhadap sesiapa sahaja yang terbabit tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

“Jika kita benar-benar mahu memerangi rasuah, kita mesti menolaknya tanpa memilih bulu. Rasuah tetap rasuah, sama ada dilakukan oleh penerima mahupun pemberinya.

“Undang-undang juga tidak boleh mempunyai dua standard. Apabila penguatkuasaan mula memilih bulu, maka keadilan telah gagal ditegakkan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0, di sini, Ahad.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas dan profesional tanpa dipengaruhi persepsi atau tekanan yang dibentuk melalui media sosial.

“Kita berhak menuntut siasatan yang telus dan menyeluruh, namun kita tidak berhak menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan persepsi.

“Keadilan mestilah berasaskan bukti dan proses perundangan, bukannya emosi atau tekanan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Syahfarahain menegaskan bahawa hak rakyat Sabah untuk menentukan hala tuju politik serta masa depan negeri tanpa campur tangan mana-mana pihak luar perlu terus dipertahankan.

Menurutnya, Sabah mempunyai sejarah, identiti dan maruah tersendiri, justeru segala keputusan berkaitan kepimpinan serta masa depan negeri hendaklah ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Sabah.

“Sabah ialah tanah air kita. Kita menghormati semua rakyat Malaysia dan menghargai persahabatan dengan semua negeri. Namun apabila membabitkan politik Sabah, biarlah rakyat Sabah sendiri menentukan masa depannya.

“Tiada siapa yang lebih memahami denyut nadi rakyat Sabah selain rakyat Sabah sendiri. Suara Sabah mesti datang daripada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus bersatu mempertahankan hak negeri, menolak rasuah tanpa kompromi serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.

“Sabah tidak kekurangan sumber dan potensi. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang berintegriti, sistem yang adil serta rakyat yang bersatu mempertahankan kebenaran.

“Selagi kita berpegang kepada prinsip-prinsip ini, Sabah mampu bangkit sebagai sebuah negeri yang lebih bermaruah, makmur dan dihormati,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles