Dr. Bonaventure ambil alih kepimpinan PBS Tamparuli, hargai enam penggal kepimpinan Jahid

TAMPARULI: Dr. Bonaventure Boniface dipilih sebagai Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli bagi sesi 2026–2029 selepas menewaskan Madin Anak dalam pertandingan dua penjuru pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-41 bahagian itu yang berlangsung di Dewan Tun Hamdan, kelmarin.

Dalam ucapan sulungnya, Dr. Bonaventure merakamkan penghargaan kepada para perwakilan atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kejayaan seluruh warga PBS Tamparuli.

Beliau turut merakamkan penghormatan kepada bekas Ketua Bahagian, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, atas kepimpinan beliau sepanjang enam penggal, selain mencadangkan agar Jahid dilantik sebagai Penasihat Bahagian bagi memastikan pengalaman, kebijaksanaan dan kepimpinannya terus dimanfaatkan demi memperkukuh parti.

Dr. Bonaventure turut menyeru semua ahli supaya menutup lembaran pertandingan dan kembali bersatu bagi memperkukuh organisasi serta memperhebat usaha mendekati rakyat.

HARGAI LEGASI: Dr. Bonaventure merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang enam penggal, sambil mencadangkan Jahid dilantik sebagai Penasihat Bahagian.

“Mulai hari ini, tiada lagi pasukan saya atau pasukan lawan. Yang ada hanyalah satu pasukan, iaitu PBS Tamparuli.

“Tanggungjawab kita sekarang ialah memperkukuh parti, mendekati rakyat dan memastikan PBS terus menjadi wadah perjuangan yang relevan demi masa depan Tamparuli dan Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Bonaventure mengemukakan usul agar tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi pada Kongres PBS akan datang.

Beliau turut mencadangkan supaya Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, diangkat sebagai Presiden PBS bagi sesi 2026–2029 demi menjamin kesinambungan kepimpinan, memperkukuh perpaduan parti serta mengukuhkan kedudukan PBS dalam kerajaan negeri.

Dalam pemilihan sayap parti, Rizkam Wenddy Yabin berjaya mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda selepas menewaskan George Bagang, manakala Maclyn Gabu dipilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita tanpa bertanding.

Mesyuarat yang dihadiri kira-kira 650 perwakilan itu diadakan selepas 85 daripada 89 cawangan PBS Bahagian Tamparuli berjaya melaksanakan mesyuarat agung masing-masing, sekali gus memenuhi syarat yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Mesyuarat berkenaan berakhir dengan komitmen seluruh perwakilan untuk terus memperkukuh perpaduan, kestabilan organisasi serta peranan PBS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles