Ahli Lembaga Pengarah perlu berani buat keputusan betul walaupun tidak popular – Masidi

KOTA KINABALU: Ahli Lembaga Pengarah badan berkanun negeri dan syarikat kerajaan negeri di Sabah diingatkan supaya berani membuat keputusan yang betul walaupun tidak popular, demi memastikan tadbir urus organisasi kekal berintegriti dan berprestasi tinggi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kepimpinan dalam lembaga pengarah tidak boleh dinilai berdasarkan populariti, sebaliknya melalui keberanian membuat keputusan berprinsip serta mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat.

“Adakalanya keputusan yang betul bukan keputusan yang mudah atau popular. Ia mungkin mengundang kritikan, menuntut kita berkata ‘tidak’, atau memerlukan kita meletakkan kepentingan organisasi, Kerajaan Negeri dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi serta tekanan luar,” katanya ketika berucap pada Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2026 di The Magellan Sutera Harbour Resort, di sini pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa Ahli Lembaga Pengarah bukan sekadar meluluskan cadangan pihak pengurusan, sebaliknya berperanan sebagai penjaga amanah, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat.

Menurutnya, setiap ahli lembaga perlu memahami tanggungjawab undang-undang, moral dan fidusiari terutama dalam menguruskan sumber awam.

Masidi turut mengingatkan bahawa kelemahan tadbir urus biasanya bermula daripada perkara kecil yang diabaikan seperti kegagalan membaca dokumen, tidak melakukan penilaian risiko, serta budaya “asal lulus” tanpa penelitian sewajarnya.

“Budaya seperti ini mesti dihentikan. Kita tidak boleh menjadi rubber stamp kepada pengurusan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mahu badan berkanun dan syarikat kerajaan negeri beroperasi sebagai organisasi berprestasi tinggi, bukan hanya patuh kepada prosedur, tetapi mampu memberi impak sebenar kepada negeri.

Menurutnya, prestasi organisasi tidak boleh diukur semata-mata melalui jumlah mesyuarat atau laporan, sebaliknya berdasarkan pencapaian mandat, kecekapan pengurusan sumber dan pulangan kepada negeri.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberikan nilai kepada organisasi. Kita tidak boleh terus membelanjakan peruntukan tanpa justifikasi yang jelas atau impak yang boleh diukur,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pengurusan risiko, termasuk kawalan dalaman, audit bebas, keselamatan data serta amalan Environmental, Social and Governance (ESG) bagi memastikan kelestarian organisasi.

Mengulas prestasi kewangan badan berkanun dan syarikat kerajaan negeri, Masidi berkata terdapat turun naik dalam sumbangan kepada kerajaan negeri yang perlu diberi perhatian serius oleh lembaga pengarah.

“Setiap keputusan lembaga pengarah sama ada berkaitan pelaburan, pinjaman atau perolehan mempunyai kesan langsung terhadap kedudukan fiskal negeri,” katanya.

Beliau menggesa semua Ahli Lembaga Pengarah menilai setiap keputusan berdasarkan tiga persoalan utama iaitu kesahan undang-undang, etika serta manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat.

“Jika jawapannya ‘ya’, lakukanlah walaupun keputusan itu sukar atau tidak popular. Kepimpinan sebenar dibina atas prinsip, integriti dan keberanian melakukan perkara yang betul,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles