Lumba Perahu Naga Ke-39 Tawau raikan kepelbagaian budaya, perkukuh perpaduan kaum

TAWAU:Kejohanan Lumba Perahu Naga Ke-39 anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penganjuran acara tahunan itu bukan sahaja mengangkat warisan dan budaya masyarakat Cina, malah menjadi medium terbaik untuk menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang menerusi aktiviti sukan dan kebudayaan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika merasmikan kejohanan itu di sini, Ahad.

Menurut Hajiji, Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau yang menghimpunkan 44 pertubuhan Cina di daerah itu memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung masyarakat, selain membantu memelihara keharmonian dan semangat muhibah dalam komuniti.

“Acara seperti ini membuktikan bahawa kepelbagaian budaya yang dimiliki rakyat Sabah merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara dan diraikan bersama.

“Persekutuan ini bukan sahaja mewakili suara masyarakat Cina di Tawau, malah berperanan penting dalam memelihara warisan budaya serta memperkukuh hubungan antara komuniti,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi penganjur, Henry Wong Chen Khiong serta seluruh jawatankuasa atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan kejohanan berprestij yang kini memasuki edisi ke-39.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kepimpinan utama, sayap pemuda dan wanita dalam persekutuan itu menjadi faktor penting dalam memastikan organisasi berkenaan terus relevan serta mampu menyumbang idea dan tenaga baharu kepada pembangunan masyarakat.

Hajiji turut berharap hubungan kerjasama antara pertubuhan masyarakat dan kerajaan negeri terus diperkukuhkan bagi memastikan lebih banyak inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Kerjasama yang erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat amat penting bagi memastikan kemakmuran negeri dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat. “Saya berharap Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau akan terus progresif dan memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles