KOTA KINABALU: Sabah menerima siling pembangunan berjumlah RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membiayai 1,173 program dan projek, sekali gus menjadi peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan berkenaan bukan sekadar melibatkan soal perbelanjaan, tetapi lebih penting memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan memberi impak menyeluruh kepada rakyat di seluruh Sabah.
Beliau berkata, industri pembinaan akan memainkan peranan penting dalam mentransformasikan pembangunan negeri menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik.
“Di seluruh Sabah, kita sedang menyaksikan momentum kukuh pembangunan infrastruktur melibatkan jalan raya, kemudahan kesihatan, utiliti serta jaringan digital.
“Lebuh Raya Pan Borneo khususnya bukan sahaja menghubungkan kawasan, tetapi turut membuka peluang ekonomi serta meningkatkan akses dan mobiliti rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian International Construction Week (ICW) Borneo dan BuildXpo di sini, pada Selasa.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau kini berkembang sebagai hab moden dan dinamik yang mencerminkan wajah baharu Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha mempercepat penyampaian projek, memperkukuh koordinasi pelaksanaan dan memastikan setiap pembangunan memberi nilai jangka panjang kepada rakyat.
Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, fokus utama akan diberikan kepada pengukuhan jaringan perhubungan melalui pembangunan pengangkutan, sistem logistik serta pelabuhan bagi merangsang perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pada masa sama, kerajaan juga memberi perhatian kepada pembangunan mampan dan berdaya tahan supaya kemajuan yang dicapai hari ini tidak menjejaskan peluang generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, strategi lain termasuk memperluas akses perumahan mampu milik, meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus lebih baik serta memperkukuh keupayaan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek.
Menurutnya, ICW Borneo menjadi platform penting yang menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama strategik antara pemain industri, pelabur dan profesional bagi menyokong agenda pembangunan Sabah.
“Sabah mengalu-alukan kerjasama pelabur dan rakan industri yang komited terhadap integriti, kualiti dan pembangunan mampan kerana peluang yang tersedia amat besar meliputi infrastruktur, pembangunan bandar dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
