KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melakukan rombakan kepimpinan tertinggi gabungan itu dengan melantik Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sebagai Timbalan Pengerusi GRS.
Pelantikan itu dibuat susulan pengunduran Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) daripada GRS yang sebelum ini menyaksikan jawatan berkenaan disandang Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Dengan pelantikan tersebut, Masidi kini menjadi antara lima Timbalan Pengerusi GRS bersama Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Senator Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah; dan Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin yang masing-masing kekal dalam jawatan sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung GRS yang baharu menggantikan Masidi.
Armizan sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS.
Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai terus diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas sebagai Ketua Penerangan GRS.
GRS turut menyaksikan kemasukan dua muka baharu dalam barisan kepimpinan utama apabila Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Bendahari Agung menggantikan Ardino Diris.
Lo yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan serta Timbalan Bendahari Agung PBS dijangka memperkukuh pengurusan kewangan gabungan berkenaan.
Selain itu, Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung GRS menggantikan Armizan.
Rombakan kepimpinan itu dilihat sebagai langkah memperkemas struktur dalaman gabungan selain memperkukuh kerjasama antara parti komponen dalam menghadapi landskap politik Sabah yang semakin mencabar.
