Sabah rancang tubuh unit khas pacu ekonomi kreatif belia

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah sedang merancang pelbagai inisiatif baharu bagi memperkasa golongan muda termasuk penubuhan sebuah unit khas untuk memacu pertumbuhan ekonomi kreatif di negeri itu.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah berkenaan bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada anak muda Sabah untuk menjadikan minat dan bakat mereka sebagai kerjaya mampan yang mampu menjana pendapatan.

Menurutnya, perkembangan pesat bidang baharu seperti e-sukan dan industri kreatif perlu dimanfaatkan secara menyeluruh sebagai platform pembangunan belia dan peluang ekonomi masa depan.

“Kita melihat dunia hari ini berkembang pesat termasuk dalam bidang e-sukan dan industri kreatif. Namun yang lebih penting ialah bagaimana keseluruhan ekosistem ini dapat dimanfaatkan sebagai platform pembangunan belia dan peluang ekonomi.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah sedang merancang pelbagai inisiatif termasuk menubuhkan sebuah unit khas untuk memacu pertumbuhan ekonomi kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Hari Sukan Anak Sabah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dekat sini, semalam.

Nizam berkata, kerajaan negeri komited melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan sukan, malah mempunyai daya saing tinggi serta mampu membina masa depan lebih baik.

Katanya, mahasiswa khususnya dari Sabah bukan sekadar penuntut ilmu, sebaliknya merupakan pemimpin masa depan yang membawa idea, tenaga dan semangat perubahan kepada masyarakat.

“Mereka adalah penggerak masyarakat dan pencetus kepada budaya yang lebih sihat serta progresif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

Menurutnya, seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat BKNS dari 2021 hingga 2024 dengan jumlah peruntukan yang ditingkatkan sehingga RM136 juta tahun lalu.

“Ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa percaya bahawa pelaburan terbesar untuk masa depan Sabah adalah pelaburan kepada anak mudanya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif Belia Sabah Maju Jaya (Belia SMJ) yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, keusahawanan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi kreatif serta pemerkasaan belia di seluruh negeri.

Mengulas program Hari Sukan Anak Sabah, Nizam memuji usaha penganjur yang berjaya menghimpunkan anak-anak Sabah dari tiga kampus universiti menerusi pelbagai acara sukan termasuk futsal, badminton, bola tampar dan e-sukan.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja menyerlahkan kepelbagaian bakat anak muda Sabah, malah membuktikan generasi muda negeri itu mampu bersaing dalam pelbagai bidang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Ikatan Anak-Anak Sabah Kampus Gombak dan seluruh jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan program ini,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles