El Niño, krisis global: Sabah perlu mekanisme tindak balas segera

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Jali @ Razali mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pengurusan Krisis bagi menangani impak fenomena El Niño serta ketegangan geopolitik di rantau Teluk yang berpotensi menjejaskan ekonomi dan bekalan makanan negeri.

Abdul Kassim berkata, cadangan itu dibuat susulan perkembangan semasa yang menunjukkan risiko krisis bukan lagi bersifat kemungkinan, sebaliknya semakin menghampiri realiti dengan kesan langsung kepada rakyat Sabah.

“Gabungan faktor geopolitik dan perubahan iklim ini akan memberi tekanan kepada kos sara hidup serta jaminan bekalan makanan negeri,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketegangan di wilayah Teluk kini memberi tekanan kepada harga minyak global, manakala unjuran iklim menunjukkan kebarangkalian fenomena El Niño melebihi 60 peratus dijangka berlaku antara Julai atau Ogos 2026 hingga awal 2027.

Beliau berkata, kebergantungan negara terhadap import makanan menjadikan Sabah lebih terdedah kepada gangguan bekalan, khususnya apabila negara pembekal utama seperti Thailand, Vietnam, Australia dan India turut berdepan risiko kesan El Niño.

“Tekanan harga kali ini datang daripada dua arah bertindih, iaitu peningkatan kos tenaga akibat konflik geopolitik serta penyusutan hasil pertanian akibat perubahan iklim.

“Kenaikan harga minyak meningkatkan kos logistik, manakala penurunan hasil pertanian mendorong kenaikan harga makanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Majlis Pengurusan Krisis berperanan sebagai platform penyelarasan strategik di peringkat negeri, melibatkan kerajaan negeri, agensi Persekutuan, pemain industri makanan dan logistik serta pakar dalam bidang ekonomi, iklim dan keselamatan makanan.

Menurutnya, antara fungsi utama majlis itu termasuk memastikan ketersediaan stok makanan asas seperti beras dan ayam, selain mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara.

“Majlis ini juga perlu menggerakkan intervensi bagi mengekang kos serta memperkukuh rantaian bekalan, termasuk mempercepat pengedaran hasil tempatan dan meningkatkan pelaburan dalam kemudahan penyimpanan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pengeluaran tempatan diperkasa melalui bantuan kepada petani dan penternak, termasuk subsidi input, jaminan pembelian hasil serta pelaburan dalam sistem pengairan dan takungan air sebagai langkah menghadapi kemarau.

Selain itu, katanya, majlis berkenaan perlu berfungsi sebagai pusat data dan sistem amaran awal bagi memantau pergerakan harga global, gangguan bekalan serta keadaan cuaca.

“Pendekatan ini penting supaya tindakan yang diambil bersifat proaktif dan berasaskan data, bukan selepas krisis berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kassim berkata Sabah terus menunjukkan daya tahan ekonomi apabila merekodkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM7.6 bilion tahun lalu, meningkat hampir 208 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau turut menyifatkan pelancaran Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai tepat pada masanya, dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat serta infrastruktur dan kelestarian hijau.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sebanyak 1,173 projek dirancang untuk Sabah termasuk 933 projek baharu dengan siling peruntukan RM12.024 bilion, meningkat 141.62 peratus berbanding RMK12.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan Sabah terus dipacu secara menyeluruh dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata, dengan kestabilan politik dan kerjasama semua pihak, Sabah berada di landasan tepat untuk terus maju sebagai negeri berdaya saing, makmur dan sejahtera.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles