KOTA KINABALU: Pencapaian semasa negeri yang digariskan dalam ucapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman sempena pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 membuktikan Sabah berada di landasan tepat untuk terus memacu pembangunan.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, kandungan ucapan berkenaan menunjukkan prestasi kerajaan negeri yang semakin kukuh serta memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, pencapaian hasil negeri mencecah kira-kira RM7 bilion serta rizab sebanyak RM8.6 bilion menjadi indikator penting keupayaan pentadbiran semasa mengurus ekonomi negeri secara berkesan.
“Pencapaian hasil negeri yang tinggi serta kedudukan rizab yang kukuh membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan. Ini adalah fakta yang mencerminkan prestasi sebenar,” katanya dalam kenyataan terkini.
Beliau berkata, pencapaian itu tidak mungkin direalisasikan tanpa pengurusan yang cekap serta dasar ekonomi yang jelas dan konsisten.
Dalam pada itu, Aksyah turut memaklumkan pelaburan sektor pembuatan meningkat kepada kira-kira RM7.6 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik serta dasar mesra pelabur kerajaan negeri.
Mengulas isu bekalan air dan elektrik, beliau mengakui ia merupakan cabaran berpanjangan, namun menegaskan kerajaan negeri terus komited melaksanakan langkah penambahbaikan secara berperingkat.
Selain itu, katanya, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kini dipercepatkan dengan pendekatan lebih tegas terhadap kontraktor bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
“Pembangunan infrastruktur merupakan pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap pelaksanaannya,” katanya.
Aksyah turut memaklumkan kadar kemiskinan tegar di Sabah menunjukkan penurunan ketara dengan kira-kira 22,000 rakyat berjaya keluar daripada kategori berkenaan.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan sosial yang memberi peluang lebih luas kepada rakyat meningkatkan taraf hidup.
Beliau menyifatkan keseluruhan pencapaian tersebut sebagai bukti keberkesanan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam menerajui agenda pembangunan negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi memastikan momentum pembangunan negeri dapat diteruskan.
