KOTA KINABALU: Penganjuran Wood Technology Festival 2026 (WOODFEST 2026) dilihat sebagai platform penting dalam memartabatkan teknologi berasaskan kayu serta memperkasa industri perkayuan hiliran agar kekal berdaya saing di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib berkata, industri perkayuan yang menjadi antara nadi ekonomi negeri perlu melakukan anjakan daripada kaedah tradisional kepada aplikasi teknologi moden.
Menurutnya, integrasi teknologi mampu meningkatkan nilai tambah sumber alam semula jadi kepada produk berkualiti tinggi yang mempunyai potensi komersial lebih luas.
“WOODFEST 2026 merupakan medium penting dalam mempromosikan ekosistem industri kayu, khususnya industri perabot Bumiputera.
“Dengan penerapan teknologi terkini, industri ini berpotensi berkembang pesat, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, selain memperkukuh industri, festival itu turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, antara inisiatif yang diketengahkan ialah penawaran program Diploma Teknologi Berasaskan Kayu oleh Politeknik Kota Kinabalu bagi melahirkan tenaga kerja kompeten yang memiliki kemahiran teknikal serta daya kreativiti tinggi.
James turut berharap pelajar institusi berkenaan dapat mempersiapkan diri sebagai pakar dan peneraju industri perkayuan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir serta usahawan yang berdaya saing.
Beliau menambah, kejayaan program tersebut turut didorong oleh sinergi strategik antara institusi pendidikan dan pemain industri, termasuk Sedafiat Sdn Bhd.
“Kolaborasi ini memastikan kurikulum pendidikan sentiasa relevan serta mampu merapatkan jurang antara pembelajaran di institusi dan keperluan sebenar industri,” katanya.
