Hentikan provokasi, hormati kedudukan Sabah dalam Malaysia

KOTA KINABALU:Sabah merupakan wilayah berdaulat dalam Malaysia dan sebarang kenyataan yang cuba menghidupkan semula tuntutan terhadap negeri ini perlu dihentikan kerana bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta prinsip hubungan diplomatik.

Ahli Dewan Negara, Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian, berkata kenyataan seorang senator Filipina yang menggesa tuntutan terhadap Sabah dihidupkan semula adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif.

Menurutnya, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah muktamad dan berlandaskan asas perundangan kukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pembentukan Malaysia bukan sahaja melibatkan persetujuan kerajaan terlibat, malah disahkan melalui proses penentuan kehendak rakyat Sabah sendiri.

“Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 telah mendapati majoriti besar rakyat Sabah menyokong penyertaan dalam Malaysia, selaras dengan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dari sudut perundangan antarabangsa, pelbagai prosiding serta keputusan tribunal dan mahkamah turut menunjukkan bahawa tuntutan yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu terhadap Sabah adalah tidak berasas dan tidak mempunyai merit.

“Ini termasuk perjanjian lama yang tidak lagi mempunyai kekuatan perundangan dalam konteks kedaulatan moden,” katanya.

Anna Bell berkata, pengiktirafan antarabangsa terhadap Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia juga jelas dan tidak boleh dipertikaikan, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara berdaulat yang diiktiraf komuniti antarabangsa sejak 1963.

Menurutnya, kewujudan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan pelbagai negara, termasuk kehadiran pejabat konsulat asing di Sabah, membuktikan pengiktirafan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah adalah bertentangan dengan prinsip kedaulatan wilayah serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan kestabilan serantau serta hubungan dua hala antara negara ASEAN yang sepatutnya berteraskan semangat saling menghormati,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata naratif tuntutan terhadap Sabah sering dikaitkan dengan kepentingan ekonomi termasuk sumber petroleum dan gas, yang disifatkan sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.

“Sabah bukan medan untuk menyelesaikan kepentingan ekonomi mana-mana pihak luar. Kekayaan hasil bumi negeri ini adalah hak rakyat Sabah dan dilindungi undang-undang Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus bersatu mempertahankan kedaulatan negeri.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal kedaulatan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah perlu ditolak sepenuhnya. “Sabah adalah milik Malaysia, dahulu, kini dan selamanya,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles