Wanita GRS perlu bersatu, elak perpecahan :Azizah

KOTA KINABALU: Kepimpinan Wanita Gabungan Rakyat Sabah diingatkan supaya terus memperkukuh perpaduan dan mengelakkan sikap berpuak-puak yang boleh menjejaskan kekuatan organisasi.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata jentera Wanita perlu bergerak secara berpasukan serta mengambil iktibar daripada pengalaman lalu bagi memastikan perpaduan dalam organisasi terus diperkukuh.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS yang diadakan di Hotel Howard Johnson, di sini, pada Sabtu.

Mesyuarat berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan Wanita GRS daripada parti-parti komponen bagi membincangkan perkembangan semasa organisasi serta merangka strategi memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Antara agenda utama mesyuarat termasuk pengesahan minit mesyuarat terdahulu, perkara-perkara berbangkit serta pembentangan laporan oleh Ketua Wanita parti-parti komponen dan Penyelaras Zon berkaitan perkembangan semasa organisasi.

Dalam ucapannya, Azizah turut menekankan kepentingan jentera Wanita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan organisasi bagi mencari penyelesaian terbaik dalam memperkukuh peranan wanita dalam parti.

Beliau mengingatkan kepimpinan Wanita supaya sentiasa mengamalkan sikap merendah diri serta turun padang menyantuni rakyat bagi memahami keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, sebagai parti gabungan tempatan yang menerajui kerajaan negeri, GRS perlu dilihat setanding dengan parti-parti nasional dari segi kekuatan organisasi dan keupayaan kepimpinan.

“GRS khususnya jentera Wanita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan mengelakkan sikap berpuak-puak yang boleh membawa kepada perpecahan.

“Kita juga perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan terus memperkukuh perpaduan dalam organisasi,” katanya.

SILATURAHIM RAMADAN: Azizah bersama barisan Jawatankuasa Tertinggi Wanita GRS pada majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu.

Azizah turut menegaskan bahawa wanita perlu terus menonjolkan kewibawaan serta kebolehan kepimpinan setaraf dengan lelaki selain memperkukuh kemahiran komunikasi sebagai medium penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, kemahiran komunikasi yang baik membolehkan pemimpin wanita menyampaikan dasar kerajaan serta maklumat berkaitan bantuan dan inisiatif rakyat dengan lebih berkesan.

Beliau turut menggesa jentera Wanita GRS supaya sentiasa mendekati masyarakat serta memanfaatkan pelbagai kemudahan dan program yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

Selepas mesyuarat tersebut, pimpinan Wanita GRS turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama Jawatankuasa Tertinggi Wanita GRS.

Turut hadir Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah Redonah Bahanda; Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah Datin Malianah Ugau; Ketua Wanita Liberal Democratic Party Glenna Wong Kuen Yin; Ketua Wanita Parti Cinta Sabah Simi Linggom; Ketua Wanita Parti Harapan Rakyat Sabah Norizian Dumit; Setiausaha Wanita GRS Salmah Sait; Bendahari Wanita GRS Datin Mary Yong; Penolong Bendahari Wanita GRS Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS Datin Belynda Buntot; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS Julia ABT serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Wanita GRS.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles