KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyambut baik komitmen PETRONAS untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama strategik bagi memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang berlangsung di sini pada Selasa.
Dalam pertemuan tersebut, Ketua Menteri turut diberi taklimat mengenai hala tuju kerjasama strategik antara PETRONAS dan kerajaan negeri serta perkembangan semasa operasi syarikat minyak nasional itu di Sabah.
Tengku Muhammad Taufik turut memaklumkan mengenai inisiatif bantuan banjir yang dilaksanakan PETRONAS sebagai sokongan kepada usaha kerajaan negeri membantu komuniti yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini.
Delegasi PETRONAS yang hadir turut disertai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim, Adif Zulkifli; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Bacho Pilong; Naib Presiden Hubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan, Norafizal Mat Saad; serta beberapa pegawai kanan PETRONAS. Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan antara kerajaan negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas peluang pembangunan ekonomi melalui sektor minyak dan gas di Sabah.
–TAMAT
