KWKKR pertingkat pemantauan, pengurusan situasi tibi di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) memperkukuh pemantauan serta pengurusan situasi tuberkulosis (tibi) di Sabah melalui kerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi memastikan langkah pencegahan, pengesanan awal dan rawatan dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.

Menterinya, Datuk Julita Majungki, berkata kementerian itu memandang serius situasi berkenaan dan telah menggerakkan pelbagai langkah tindak balas bersama agensi kesihatan bagi membendung penularan penyakit berjangkit tersebut.

“KWKKR melalui JKNS terus mempertingkatkan pemantauan di lapangan, di samping memastikan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan, termasuk saringan, rawatan dan sokongan susulan, berada pada tahap optimum.

“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, namun kekal berwaspada dengan mengamalkan kebersihan pernafasan yang baik, memastikan pengudaraan mencukupi di tempat tinggal dan tempat kerja, serta segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Julita turut mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan SMK Tandek 2 di Kota Marudu, pada Sabtu, susulan kejadian banjir akibat hujan berterusan.

Beliau berkata, pengoperasian PPS berjalan lancar hasil penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta kerjasama erat agensi terlibat dalam memastikan kebajikan mangsa terpelihara.

Menurutnya, beberapa kampung termasuk Kampung Beliajung, Kampung Tandek dan Kampung Marasinsim terjejas, namun tindakan pemindahan awal oleh pasukan penyelamat berjaya dilaksanakan bagi menjamin keselamatan penduduk.

“Keadaan cuaca dilaporkan semakin stabil dengan paras air menunjukkan trend penurunan dan setakat ini tiada laporan kematian atau kecederaan. “Kementerian akan terus memantau situasi semasa serta memastikan bantuan dan sokongan kepada komuniti terjejas diteruskan sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles