PAPAR: Langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menangani gangguan bekalan air di Kampung Kawang di sini sejak penghujung Disember lalu menunjukkan hasil positif apabila bekalan air kini kembali stabil dan tidak lagi tertakluk kepada jadual catuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerja-kerja naik taraf serta peningkatan kapasiti di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon yang disiapkan kira-kira tiga minggu lalu berjaya menambah baik tahap kebolehpercayaan bekalan air kepada penduduk setempat.
“Selepas pelaksanaan intervensi ini, penduduk memaklumkan bekalan air kini lebih lancar dan stabil untuk kegunaan harian tanpa perlu bergantung kepada jadual catuan seperti sebelum ini.
“Peningkatan kapasiti sebanyak 10 peratus, bersamaan tambahan empat juta liter sehari (JLH), selain kerja menaik taraf pam sedia ada dan saluran paip ke tangki utama P3, telah membantu mengatasi masalah bekalan air buat sementara waktu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Kampung Kawang, di sini, pada Sabtu.
Armizan berkata, pelaksanaan intervensi berkenaan merupakan langkah jangka pendek sementara menunggu siap projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon 2 yang dijangka meningkatkan kapasiti rawatan sebanyak 40 juta liter sehari.
Menurutnya, projek itu yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini akan memberi impak lebih besar dalam menstabilkan bekalan air bagi keseluruhan kawasan Parlimen Papar, termasuk kawasan sekitar di utara Parlimen Kimanis dan selatan Parlimen Putatan. “Kerajaan negeri bersama Jabatan Air Negeri Sabah akan terus memantau pelaksanaan projek serta keadaan semasa bekalan air bagi memastikan isu sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
–TAMAT
