Kerajaan Sabah, IEM perkukuh kerjasama bidang kejuruteraan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh kerjasama strategik dengan penggiat industri kejuruteraan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negeri dilaksanakan secara mampan, berimpak tinggi dan berteraskan kepentingan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam menerima kunjungan hormat delegasi The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Sabah di pejabatnya di sini, hari ini.

Pertemuan itu bertujuan mempererat hubungan antara kerajaan negeri dan profesion kejuruteraan dalam usaha memperkasa perancangan, pelaksanaan serta penyampaian projek infrastruktur dan perkhidmatan utiliti di Sabah.

Delegasi IEM Sabah diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar, bersama ahli jawatankuasa termasuk Ir. Ts. Tan KJ, Datuk Ir. Willy Chin, Ir. Randy Kuan Luk Cheong, Ir. Ts. Petrocelli Joseph, Ag. Khairul Akmal Kamaludin dan Lydia Lisa Edward.

Dalam pertemuan berkenaan, IEM Sabah menekankan keperluan memperkasa pembangunan bakat tempatan dengan menggalakkan lebih ramai jurutera mendaftar sebagai Ahli Siswazah IEM sebelum melangkah ke peringkat Keahlian Korporat dan seterusnya memperoleh status Jurutera Profesional (Ir.).

Menurut IEM Sabah, pihaknya bersedia menyediakan latihan berstruktur, program mentor serta bimbingan profesional bagi membantu jurutera memenuhi keperluan pendaftaran profesional.

“Inisiatif ini penting untuk membina kumpulan bakat kejuruteraan tempatan yang kompeten, sekali gus memperkukuh kapasiti sektor awam dan swasta dalam melaksanakan projek pembangunan,” menurut kenyataan itu.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perancangan dan penyelarasan koridor utiliti di negeri ini bagi mengelakkan pertindihan kerja serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek infrastruktur.

Turut dibincangkan potensi peranan IEM Sabah dalam menyediakan input teknikal dan khidmat kepakaran profesional kepada kementerian, khususnya berkaitan isu kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam serta penyelesaian kejuruteraan yang lebih bersepadu dan lestari.

Kunjungan hormat itu diakhiri dengan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan komuniti kejuruteraan dalam menyokong agenda pembangunan infrastruktur mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles