KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong penganjuran Acara Perniagaan yang selari dengan hala tuju ekonomi negeri bagi memperkukuh penglibatan serantau serta dialog pelaburan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, platform Acara Perniagaan akan dimanfaatkan untuk memperluas kerjasama rentas sempadan serta menghubungkan keupayaan serantau dengan rangkaian global, sejajar dengan perubahan jangkaan ekonomi dunia.
“Kami akan terus meningkatkan piawaian dan menyusun perkongsian dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan serta penyampaian yang berkesan,” katanya dalam ucapan pada Forum Acara Perniagaan Antarabangsa ke-Tiga (BE di Sabah) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri mengiktiraf Acara Perniagaan sebagai pemacu penting agenda ekonomi dan pembangunan Sabah kerana berperanan sebagai platform berfokus untuk merangsang pertumbuhan industri, memudah cara perbincangan pelaburan serta menggalakkan penyertaan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan profesional dan bakat muda.
Katanya, strategi pembangunan negeri berteraskan kestabilan, tadbir urus yang baik serta penciptaan nilai jangka panjang, bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif, seimbang dan mampan.
“Keyakinan pelabur dan kepercayaan antarabangsa tidak terhasil melalui pengumuman semata-mata, tetapi melalui dasar yang konsisten, hala tuju yang jelas serta pelaksanaan yang boleh dipercayai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata platform seperti BE di Sabah menjadi jambatan strategik antara dasar dan pelaksanaan, kepakaran global dan keupayaan tempatan, selain membuka peluang penglibatan langsung dengan peneraju industri antarabangsa.
Hajiji turut menegaskan kedudukan strategik Sabah di ASEAN Timur yang mempunyai potensi kerjasama ekonomi besar melalui kekuatan yang saling melengkapi.
“Kita komited terhadap penglibatan konstruktif dalam landskap serantau ini dengan memperkukuh keterhubungan, memupuk perkongsian dan menyokong platform berimpak yang menghasilkan hasil praktikal,” katanya.
Beliau berkata penganjuran forum di SICC mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan, memperkukuh penyelarasan institusi dan keupayaan industri agar setiap acara bertaraf antarabangsa dilaksanakan secara profesional.
Selain itu, Biro Konvensyen Sabah (SCB) di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut memainkan peranan penting dengan bekerjasama rapat bersama industri bagi mewujudkan persekitaran pemudah cara yang diyakini penganjur antarabangsa.
“Kepada delegasi antarabangsa, Sabah bersedia dan terkoordinasi untuk penglibatan. Kepada rakan tempatan dan serantau, forum ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap piawaian tinggi dan penyampaian berkesan,” katanya.
