KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah bagi memperkukuh penyampaian maklumat, dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat negeri ini sepanjang tahun ini.
Perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat delegasi Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah yang diketuai Pengarahnya, Mohd Yusni Mohamed Ali, kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Antara bentuk kerjasama yang dirancang ialah penganjuran temu bual naratif khas bersama Ketua Menteri bagi menggariskan hala tuju, dasar serta inisiatif utama Kerajaan Negeri demi pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pertemuan itu, Mohd Yusni turut memberi taklimat mengenai beberapa program televisyen dan radio terbitan RTM yang mempromosikan Sabah, antaranya Sabah Berselawat, Bintang Sandakan dan Sabah Vfm Songs Award yang disiarkan tahun lalu.
Turut mengiringi delegasi berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah (Rancangan Radio), Artika Matbee; Penolong Pengarah (Penerbitan TV), Effa Dian Ali; Penolong Pengarah (Berita Ehwal Semasa), Sugiman Rafai serta Penolong Pengarah (Cawangan Khidmat Pengurusan), Sarinah Abdul Hamid.
Kerjasama ini dijangka dapat memperluas liputan serta kefahaman rakyat terhadap agenda pembangunan negeri, selain mengukuhkan peranan RTM sebagai medium penyampaian maklumat rasmi Kerajaan Negeri Sabah.
