TAWAU: Kerajaan Negeri merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan bersebelahan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan menerusi kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Menurut beliau, komitmen tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama secara berterusan demi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadan ‘Malam Mencari Kekasih’ di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Ahad.
Hajiji menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan akhlak rakyat, kekuatan iman dan kesuburan ilmu berteraskan nilai agama.
Beliau berkata, pembangunan pendidikan Islam merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah, selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.
Pada sebelah pagi, Ketua Menteri turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI.
Menurut beliau, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan Smart White Board di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
“Pendekatan ini membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam,” katanya.
Hajiji menambah, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh.
Beliau turut mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelma sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT.
