Naik taraf tandas KKIA hampir siap, keselesaan pengguna jadi keutamaan

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap menteri yang bertanggungjawab terhadap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Joniston Bangkuai, mengadakan lawatan pemantauan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini bagi memastikan kemudahan awam, khususnya tandas, sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan selamat untuk kegunaan orang ramai.

Beliau berkata lawatan itu dibuat susulan aduan masyarakat berhubung tahap kebersihan tandas awam di lapangan terbang berkenaan, yang merupakan pintu masuk utama ke negeri Sabah.

Menurutnya, tujuan pemantauan berkenaan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berkesan demi keselesaan pengguna.

“Lawatan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi bagi memastikan segala kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani segera.

“Kita mahu tahap kebersihan di KKIA mencerminkan imej sebenar Sabah sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan berkenaan, di sini, hari ini.

Joniston berkata antara aduan yang diterima termasuk isu lantai tandas yang basah, gangguan bekalan air serta kekurangan kemudahan asas di beberapa lokasi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan pemantauan berterusan termasuk penugasan petugas khusus di setiap tandas bagi memastikan sebarang masalah dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan pantas.

“Kita tidak mahu persepsi negatif timbul hanya kerana keadaan yang berlaku pada satu-satu masa. Pemantauan rapi dan tindakan segera adalah kunci untuk mengekalkan keyakinan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan KKIA, Jefry Ramli, memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan melibatkan 26 set tandas dengan kos keseluruhan RM11.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 12 set tandas telah siap sepenuhnya, manakala enam lagi sedang dalam proses naik taraf.

“Kerja naik taraf ini dilaksanakan secara berfasa kerana pihak pengurusan tidak boleh menutup semua tandas serentak.

“Pada satu-satu masa, hanya lima atau enam tandas ditutup bagi memastikan operasi lapangan terbang tidak terganggu,” katanya.

Beliau menjelaskan kekurangan kemudahan tandas yang dialami ketika ini bersifat sementara dan dijangka pulih sepenuhnya sebaik projek siap kelak.

Jefry turut memaklumkan bahawa setiap tandas yang dinaik taraf tertakluk kepada tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period – DLP) selama satu tahun, yang mewajibkan kontraktor membaiki sebarang kerosakan atau isu yang timbul selepas digunakan.

“Kebanyakan isu hanya dapat dikenal pasti selepas kemudahan digunakan orang awam. Dalam tempoh DLP ini, semua kecacatan akan dibaiki dengan segera,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah pengguna, Jefry berkata KKIA kini merekodkan antara 22,000 hingga 24,000 penumpang sehari, dan pernah mencecah sehingga 30,000 penumpang sehari ketika musim puncak.

Menurutnya, jumlah 26 set tandas sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sebaik semua kerja naik taraf diselesaikan sepenuhnya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles