KOTA KINABALU: POIC Sabah Sdn Bhd menyerahkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM4.17 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam satu majlis penyerahan simbolik replika cek yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Jumlah tersebut merangkumi sumbangan RM2 juta kepada Kerajaan Negeri serta bayaran balik pinjaman Persekutuan sebanyak RM2.17 juta bagi tahun 2025.
Replika cek itu diserahkan oleh Pengerusi baharu POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Wilfred Madius Tangau, kepada Timbalan Setiausaha Tetap Kewangan, Chee Shok Ting.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Setiausaha Tetap Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Datuk Fredian Gan.
Penyerahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan POIC Sabah dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkukuh kedudukan kewangan serta memacu agenda pembangunan perindustrian dan ekonomi negeri.
–TAMAT
