KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), Encik Mohd Azmir Datuk Ramli, di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, Selasa.
Mohd Azmir dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa 16 September 2025. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Sekretariat Sabah Logistics Council serta Penasihat Teknikal Logistik di Kementerian Kerja Raya Sabah.
Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri diberi taklimat mengenai hala tuju baharu SOGDC yang memberi penekanan kepada pengukuhan perkhidmatan sokongan industri minyak dan gas, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

Perbincangan turut menyentuh perkembangan dan prestasi Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), yang merupakan projek strategik negeri dalam membangunkan industri minyak dan gas hiliran, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah.
SOGDC merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah yang ditubuhkan bagi memacu pembangunan industri minyak dan gas, khususnya melalui pelaksanaan SOGIP, di samping berperanan sebagai agensi pelaksana kerajaan dalam menarik pelaburan, merancakkan aktiviti industri dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Sabah.
Kerajaan Negeri kekal komited memastikan SOGDC terus berfungsi sebagai pemangkin strategik dalam agenda pembangunan ekonomi Sabah yang mampan dan berdaya saing.
— TAMAT
