Komitmen 40 peratus hasil Sabah perlu disusuli tindakan terancang: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor

KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berharap komitmen Kerajaan Persekutuan berhubung pembayaran 40 peratus hasil bersih Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diterjemahkan melalui tindakan yang jelas dan tersusun, demi manfaat jangka panjang rakyat negeri ini.

Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Briged Jeneral Kehormat (RELA) Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, yang merakamkan penghargaan terhadap jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan hak Sabah termasuk pembayaran 40 peratus hasil bersih negeri.

Menurutnya, jaminan tersebut mencerminkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk bergerak ke fasa pelaksanaan yang lebih konkrit, namun pada masa sama perlu disokong dengan pelan tindakan dan garis masa yang jelas.

“Rakyat Sabah menaruh harapan tinggi terhadap pelaksanaan hak MA63. Ia bukan tuntutan baharu, sebaliknya hak yang telah dijamin ketika pembentukan Malaysia.

“Oleh itu, pelaksanaan yang terancang, berperingkat dan realistik amat penting supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yazid berkata, kejelasan mekanisme pelaksanaan akan membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan, di samping mengukuhkan perpaduan nasional berasaskan prinsip keadilan dan perkongsian yang saksama.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang disifatkan konsisten membawa suara rakyat Sabah ke meja rundingan secara berhemah dan berlandaskan semangat kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Pendekatan harmoni dan diplomasi matang yang ditunjukkan Ketua Menteri diyakini mampu menghasilkan keputusan terbaik demi kepentingan Sabah,” katanya.

Beliau berharap mesyuarat berkaitan yang dijadualkan diadakan sebelum pertengahan Januari 2026 akan menghasilkan persetujuan mengenai mekanisme pembayaran yang teratur, konsisten dan berimpak tinggi kepada rakyat, selaras dengan semangat MA63 serta prinsip kerjasama Persekutuan–Negeri.

“Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor akan terus menyokong kerjasama positif antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Bersama kita memperkukuh keadilan, mengangkat maruah Sabah dan memastikan hak negeri ini dilaksanakan secara menyeluruh demi masa depan Sabah dan Malaysia,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles