KOTA KINABALU: Kabinet Negeri perpaduan yang baharu dibentuk komited untuk bekerjasama secara erat dalam memacu kemakmuran dan kemajuan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai keupayaan kukuh untuk merealisasikan matlamat itu berpaksikan pencapaian pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai sepanjang lima tahun lalu.
“Kita bersedia melancarkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang bersifat holistik, inklusif dan komprehensif pada tahun 2026 bagi memastikan kesinambungan kemajuan negeri,” katanya.
Hajiji berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Ketua Menteri menegaskan keperluan untuk terus memperkukuh Kerajaan Negeri bagi memastikan kestabilan politik berterusan serta kesinambungan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai sepanjang lima tahun lalu adalah hasil usaha berterusan dalam mengekalkan kestabilan politik dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan ekonomi serta sosial negeri.
“Dengan pentadbiran baharu ini, saya bersama anggota Kabinet akan memperteguh komitmen untuk mengekalkan kestabilan dan memperjuangkan agenda politik berteraskan perpaduan serta pembangunan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa beliau akan berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik.
“Saya adalah Ketua Menteri untuk semua. Kerajaan ini akan berkhidmat secara adil dan saksama demi kebajikan seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan portfolio bagi 17 Pembantu Menteri yang mengangkat sumpah jawatan pada Selasa.
Senarai Portfolio Pembantu Menteri Sabah
Jabatan Ketua Menteri
- Datuk Joniston Bangkuai (GRS)
- Datuk Isnin Aliasnih (GRS)
- Datuk Ceasar Mandela Malakun (GRS)
Kementerian Kerja Raya dan Utiliti
- Datuk Limus Jury (GRS)
- Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah (GRS)
Kementerian Kewangan
- Datuk Ben Chong (GRS)
- Datuk Mohd Ishak Ayub (STAR)
Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan
- Datuk Jonnybone J. Kurum (GRS)
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan
- Datuk Fairuz Renddan (Bebas)
- Datuk Dr. Maijol Mahap (Bebas)
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
- Datuk Ruslan Muharam (GRS)
- Datuk Hendrus Anding (GRS)
Kementerian Pembangunan Luar Bandar
- Datuk Samad Jambri (GRS)
- Datuk Juil Nuatim (GRS)
Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi
- Jordan Jude Ellron (Bebas)
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
- Dr. Andi Rizal (GRS)
Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat
- Datuk Rina Jainal (Bebas)
— TAMAT
