PAPAR: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyuarakan keyakinan bahawa gabungan itu akan dikembalikan sebagai Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17, esok
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan penerimaan positif rakyat terhadap manifesto serta calon-calon GRS sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.
“Insya-Allah, kita yakin akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya esok. Saya melihat sendiri sokongan rakyat di lapangan dan sambutan terhadap tawaran serta hala tuju GRS amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada siri kempen Rumah Kita, Kita Jaga di Pantai Manis, di sini hari ini.
Hajiji berkata, Papar berpotensi berkembang lebih pesat sekiranya ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Papar dimenangi calon GRS, sekali gus memudahkan penyelarasan pembangunan bersama Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
“Saya yakin jika ketiga-tiga ADUN di kawasan Parlimen Papar daripada GRS, mereka dapat berganding bahu dengan Ahli Parlimen untuk mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan di kawasan ini,” katanya.
Tiga calon GRS yang bertanding di Parlimen Papar ialah Datuk Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar bagi DUN Kawang, Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).
Hajiji yang juga calon GRS bagi DUN Sulaman mengulangi seruannya supaya rakyat memilih GRS pada hari pengundian esok, sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan gabungan itu memiliki rekod pencapaian yang terbukti.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, Kerajaan Negeri di bawah GRS telah membuktikan keupayaan melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
“Rakyat jangan terpengaruh dengan pembohongan dan fitnah pembangkang. Ada antara mereka telah terbukti gagal dan hanya mampu bertahan dua tahun setengah sebelum ditolak rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa isu-isu yang diketengahkan oleh calon GRS Pantai Manis sepanjang kempen akan diberikan perhatian sewajarnya sekiranya GRS kembali menerajui kerajaan negeri.
Sementara itu, menamatkan siri kempen di Meruntum, Putatan, Hajiji menegaskan bahawa rakyat tidak harus mengulangi kesilapan lalu dengan memilih parti yang telah terbukti gagal mentadbir negeri. “Sebaliknya, GRS telah membuktikan prestasi melalui SMJ 1.0 dan akan meneruskan kesinambungan pembangunan menerusi SMJ 2.0 demi kestabilan dan kemajuan berterusan Sabah,” katanya
