KUNAK: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Sabah (DUS) Kunak, Datuk Norazlinah Arif, yakin mampu mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Beliau berkata, saingan pada PRN kali ini membawa makna yang lebih besar kerana ia bukan hanya soal mempertahankan kerusi, tetapi membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap kepimpinannya adalah berasaskan rekod perkhidmatan, bukan semata-mata bergantung kepada logo parti.
“Saya fokus untuk memastikan kemenangan GRS di Kunak. Saya pernah menang di bawah tiket Warisan sebelum ini, dan cabaran kali ini adalah untuk membuktikan bahawa sokongan rakyat adalah kepada kepimpinan dan khidmat yang kita berikan – bukan sekadar simbol di kertas undi,” katanya.

Norazlinah berkata, jentera GRS di Kunak kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk tempoh kempen selama dua minggu menjelang hari pengundian pada 29 November.
“Semua pusat operasi telah dibuka, semakan keahlian berjalan lancar, dan gerak kerja menjejak pengundi juga giat dilaksanakan sejak pembubaran DUN.
“Baki dua minggu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kami akan mengekalkan momentum sehingga hari pengundian,” katanya lapor Harian Ekspres
Norazlinah memenangi kerusi Kunak pada 2018 dan 2020 di bawah tiket Warisan sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), komponen GRS, pada Februari 2023.
Beliau kini membawa mesej kesinambungan pembangunan dan kestabilan sebagai teras utama kempen GRS di Kunak.
— TAMAT
