GRS sasar bawa Sabah ke tahap lebih tinggi

TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertekad memacu Sabah ke tahap pembangunan yang lebih tinggi melalui kesinambungan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selepas berjaya meletakkan asas kukuh menerusi SMJ 1.0 sejak lima tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata mandat baharu daripada rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan secara konsisten dan terancang.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan calon DUN Sulaman, menegaskan kejayaan dicapai kerajaan negeri bukan retorik, tetapi hasil pelaksanaan berfasa di pelbagai sektor termasuk sosial, ekonomi dan kemudahan asas.

Menurutnya, antara kejayaan terbesar GRS adalah keberhasilan program kebajikan rakyat yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Mulai tahun ini, kira-kira 100,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dalam sistem e-Kasih menerima bantuan RM300 setiap bulan. Ini tidak pernah dilakukan mana-mana kerajaan sebelum ini.

“Selain itu, melalui Rumah Mesra SMJ, kita menyediakan 40 rumah percuma bagi setiap DUN, berbanding kira-kira empat unit PPRT yang diberikan kerajaan terdahulu,” katanya pada perjumpaan bersama jentera GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengambil langkah menyelesaikan isu legasi seperti bekalan air dan elektrik, yang selama ini membelenggu rakyat Sabah.

“Sebanyak 18 loji rawatan air baharu sedang dibina di seluruh negeri, selain pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang bakal menstabilkan bekalan elektrik untuk jangka panjang,” katanya.

Dalam sektor pendidikan, kerajaan negeri telah menyalurkan RM1.3 bilion bagi pembangunan modal insan dalam tempoh lima tahun — menjadikan pendidikan antara komponen paling besar dalam SMJ.

“Kami bukan kerajaan yang hanya bercakap atau menjanjikan bulan dan bintang. Pembangkang pernah memegang kuasa, malah ada yang menjadi menteri Persekutuan selama bertahun-tahun. Namun, apa yang mereka selesaikan untuk Sabah?” katanya.

Mengenai PRU DUN Sabah ke-17 yang menyaksikan 596 calon bertanding bagi 73 kerusi, Hajiji berkata jumlah itu menunjukkan dinamika demokrasi negeri, namun yakin pengundi akan membuat pilihan berdasarkan rekod dan kemampuan sebenar.

“Saya percaya rakyat akan memilih parti yang mempunyai rekod kerja terbukti, bukan sekadar retorik,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa jentera GRS Sulaman yang berjumlah 2,500 anggota kini berada dalam keadaan siap siaga.

“Saya mahu jentera turun ke lapangan dan menerangkan pencapaian serta perancangan GRS kepada pengundi. Keyakinan saya tinggi bahawa jentera yang mantap ini akan membantu GRS meraih kemenangan di Sulaman dan kawasan lain,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles