“Warisan terima wakil rakyat lompat jadi Kerajaan” : Armizan

KOTA KINABALU:Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah parti “lompat” seperti yang didakwa pembangkang, sebaliknya merupakan gabungan politik yang memperkenalkan pembaharuan untuk memastikan kestabilan politik negeri.

Dalam kenyataannya di Facebook, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, membidas dakwaan pemimpin Parti Warisan yang menyifatkan beliau “lebih banyak menyerang pembangkang” berbanding menumpukan tugas kementerian.

“Ini musim pilihan raya, kamu sudah lama menyerang walau belum bubar. Bagilah peluang saya juga menjawab — tapi saya guna nama sebenar, bukan akaun palsu. Saya bercakap atas fakta, bukan auta,” katanya.

Menurut Armizan, naratif bahawa GRS ialah parti “lompat” adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta sejarah.

Beliau menjelaskan bahawa peristiwa lompat parti yang paling besar berlaku pada tahun 2018, apabila kerajaan Sabah ketika itu tumbang akibat tindakan beberapa wakil rakyat melompat menyertai Warisan — sekali gus menukar kerajaan tanpa melalui pilihan raya baharu.

“Ketua Menteri yang memerintah ketika itu tidak meletak jawatan, tetapi kerajaan berubah kerana Warisan menerima wakil rakyat melompat. Ironinya, kerajaan itu juga yang menolak cadangan memperkenalkan undang-undang anti lompat,” ujarnya.

Armizan menegaskan bahawa kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ialah pihak yang memperkenalkan dan meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri pada 2023 untuk menghalang budaya lompat parti.

“Siapa bawa usul pinda perlembagaan untuk larang lompat parti? Jawapannya — Hajiji dan kerajaan GRS. Fakta ini tidak boleh disangkal,” tegasnya.

Mengulas dakwaan bahawa beliau bertanding menggunakan “logo parti lain” pada PRU15, Armizan menjelaskan bahawa watikah pencalonannya ditandatangani oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dan beliau menggunakan logo rasmi GRS, sebagaimana diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Peraturan Pilihan Raya 1981 dengan jelas memperuntukkan bahawa watikah dan logo wajib dihantar kepada pegawai pengurus pilihan raya pada hari penamaan calon. Segalanya sah mengikut undang-undang,” katanya.

Armizan turut mempersoalkan pendekatan baharu Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, dengan menyindir sama ada parti itu akan kembali menggunakan taktik lama — memujuk wakil rakyat lain melompat atau bekerjasama dengan parti nasional semata-mata untuk berkuasa.

“Soalnya, apakah taktik baharu Warisan kali ini? Adakah akan memujuk wakil rakyat parti lain untuk menyokong presidennya sebagai Ketua Menteri?” katanya sinis.

Beliau menegaskan bahawa GRS kekal konsisten memperjuangkan kestabilan politik dan menolak politik oportunis.

“GRS bukan ditubuhkan untuk selamatkan individu, tetapi untuk selamatkan Sabah. Pilihlah GRS — Rumah Kita, Kita Jaga,” katanya menutup kenyataan.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles