Hajiji umum hampir 40,000 ekar tanah SFI dijadikan rizab kampung: Hajiji

TENOM:Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung bagi manfaat rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat luar bandar, khususnya dalam aspek penempatan dan pembangunan komuniti.

“Kerajaan negeri telah mewartakan rizab kampung ini sebagai bukti bahawa kita peka terhadap keperluan rakyat. Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, kita telah meluluskan lebih 40,000 ekar tanah kerajaan daripada SFI untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, hari ini.

Hajiji berkata di bawah kerajaan GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut diperuntukkan kepada rakyat sebagai sebahagian usaha merealisasikan tonggak kemakmuran rakyat dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita mahu rakyat hidup selesa. Sebab itu di bawah SMJ, kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (duduk keenam dari kiri) bersama pemimpin-pemimpin GRS, ahli jentera pilihan raya dan para penyokong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, hari ini.

Menurutnya, jumlah penerima bantuan kebajikan di Sabah kini meningkat kepada 70,000 orang, berbanding hanya 30,000 penerima ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah terus memperoleh manfaat besar hasil pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS.

Beliau menjelaskan, kerjasama itu memberi suara dan penglibatan lebih luas kepada Sabah dalam industri minyak dan gas negara.

“Kini terdapat lebih 80 vendor tempatan terlibat dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), berbanding hanya 10 pada tahun 2022. Vendor-vendor tempatan kini menguasai 36 peratus daripada pasaran kontrak,” katanya.

Hajiji menegaskan, tidak seperti pembangkang yang berpolitik berasaskan dendam apabila mengambil alih kerajaan, GRS terus menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan melalui pelaksanaan Hala Tuju SMJ 1.0.

“Jika rakyat memberikan semula mandat kepada GRS, kita akan teruskan pembangunan di bawah SMJ 2.0. Kita bukan kerajaan yang pandai berjanji, kita kerajaan yang menunaikan janji,” katanya.

Beliau berkata GRS bukan sekadar menabur janji, tetapi melaksanakan dasar pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat, sambil mengingatkan agar rakyat tidak terpedaya dengan retorik politik pembangkang.

“Pembangkang pandai berjanji bulan dan bintang, tapi akhirnya rakyat yang kecewa. Kita ada rekod, mereka hanya ada kata-kata,” katanya lagi.

Dalam majlis itu, Hajiji turut mengumumkan bahawa Datuk Rubin Balang akan mewakili GRS sebagai calon bagi kerusi DUN Kemabong dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini.

“Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu rakyat Kemabong, saya yakin Datuk Rubin akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles