Safirah kagum kepimpinan Pandikar, disifatkan miliki jiwa seperti Tun Mustapha

KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Dr. Safirah Jaan Jaafar, menyifatkan penyertaannya dalam parti itu bukan semata-mata keputusan politik, tetapi lahir daripada kekaguman terhadap gaya kepimpinan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dilihat mempunyai banyak persamaan dengan tokoh negarawan tersohor, Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Menurut Dr. Safirah, kepimpinan Tun Mustapha yang berwibawa, berprinsip dan berjiwa rakyat menjadi sumber inspirasinya sejak dahulu, namun semangat itu kembali hidup apabila beliau mengenali dan bekerja rapat dengan Pandikar.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia

“Pandikar seorang yang sangat terbuka, rendah hati dan menghormati semua lapisan masyarakat. Beliau sentiasa memberi ruang kepada pemimpin muda dan profesional untuk belajar serta berkembang,” katanya dalam kenyataan, di sini, baru-baru ini.

Sambil berseloroh, Safirah menyatakan bahawa kedua-dua tokoh itu hanya berbeza pada satu perkara kecil , “Tan Sri tak pakai songkok.”

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi yang meninggalkan kesan mendalam ketika pertama kali bertemu Pandikar — meskipun beliau tiba lewat 20 minit, Pandikar tetap menunggu dengan sabar.

“Itu tanda beliau seorang yang prihatin dan memahami. Saya sangat terkesan,” katanya.

Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun

Dalam pertemuan itu juga, Pandikar bukan sahaja bertanya mengenai minatnya dalam politik, tetapi turut mengambil berat aspek peribadi.

“Beliau bertanya sama ada penyertaan saya dalam politik mendapat keredhaan suami. Saya tidak sangka, dan saya sangat menghargainya,” ujar Safirah yang menyifatkan Pandikar sebagai ‘guru politik’ yang sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada generasi muda.

Dr. Safirah bukan nama asing dalam bidang akademik dan kesihatan awam. Beliau merupakan bekas Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berkelulusan perubatan dari Universiti Crimea, Ukraine, serta memiliki Sarjana Sains Kesihatan (UMS) dan Doktor Kesihatan Awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kepimpinan, katanya, sudah sebati dalam darahnya diwarisi daripada ayahnya, Jaafar Chong Abdullah @ Chong Len Fatt, dan datuknya, Chong Pao Nyuk, kedua-duanya pernah menjawat jawatan Kapitan Cina di Kimanis.

Kini, beliau bergelar isteri kepada Dr. Mohd Shahnaz Shamsuddin dan ibu kepada tiga cahaya mata.

Dalam pada itu, Safirah menyeru agar lebih ramai golongan muda dan profesional menyertai perjuangan USNO yang kini diterajui Pandikar Amin.

“Parti ini perlukan darah baharu dan tenaga segar untuk terus relevan dalam landskap politik Sabah. Saya yakin, dengan semangat dan kebijaksanaan Tan Sri Pandikar, masa depan USNO akan kembali gemilang,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles