KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, merakamkan penghargaan kepada komuniti Bugis, Jawa dan Bajau di Kampung Liawan atas sokongan padu mereka terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam program Jelajah PRN17 DUN N.41 Liawan yang diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, kehadiran masyarakat pelbagai kaum itu mencerminkan semangat perpaduan dan keyakinan terhadap kepimpinan GRS dalam membawa kemajuan yang seimbang untuk kawasan luar bandar.
“Saya amat menghargai semangat kebersamaan dan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat di sini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan mencerminkan kepercayaan, perpaduan, dan komitmen bersama dalam usaha memajukan komuniti ini serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Annuar berkata, program turun padang seumpama itu menjadi wadah penting bagi mendengar suara rakyat secara langsung, terutama dalam memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi turut dinikmati penduduk luar bandar di Keningau dan sekitarnya.
Beliau menegaskan bahawa Liawan akan terus menjadi fokus utama dalam agenda pembangunan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita akan memperkukuh lagi GRS Liawan untuk memastikan kemajuan dan keseimbangan pembangunan di kawasan ini dapat diteruskan. Ini bukan sekadar janji politik, tetapi komitmen untuk memastikan rakyat luar bandar tidak ketinggalan,” tegasnya.
Beliau turut menyeru agar pengundi terus memberikan kepercayaan dan mandat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) demi menjamin kesinambungan pembangunan yang mampan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“GRS telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan adil dan berkesan. Kita perlu mengekalkan kerajaan yang stabil dan berwibawa demi masa depan generasi akan datang,” katanya lagi.
— TAMAT
