140,000 penerima SYUKUR di Sabah tahun ini, 7,750 di Kota Belud

KOTA BELUD:Seramai 7,750 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Parlimen Kota Belud dikenal pasti sebagai penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) tahun ini, termasuk 1,816 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata bantuan sebanyak RM200 sebulan itu bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup golongan miskin dan miskin tegar.

“Bagi tahun 2026, Program SYUKUR kini memasuki fasa ketiga dan melibatkan seramai 140,000 penerima di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach SYUKUR 2026 sempena Mini Karnival Usahawan IKS Sabah di Kadamaian Square, di sini, Jumaat.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata seramai 30 penerima menerima bantuan secara tunai pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, penerima lain yang belum menerima bayaran tunai boleh membuat tuntutan di cawangan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) berhampiran mulai awal Oktober.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata Kerajaan Negeri menerusi kementeriannya terus memperkukuh ekosistem keusahawanan bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MIDE) yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti pembungkusan produk tempatan.

Menurutnya, bantuan berkenaan merangkumi aspek reka bentuk pembungkusan, pendaftaran dengan MyIPO, penyediaan maklumat kandungan nutrisi, kod bar dan tarikh luput.

“Sejak diperkenalkan pada 2011, Program TRUS telah memberi manfaat kepada 800 usahawan di seluruh Sabah.

“Penambahbaikan pembungkusan dan pematuhan terhadap keperluan pasaran membuka peluang kepada produk tempatan untuk dipasarkan dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) turut melaksanakan Program SME-UP yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan.

Ia termasuk bantuan mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, mesin retort, pensijilan halal serta pendaftaran cap dagangan.

“Sehingga 2025, seramai 5,879 usahawan telah menerima manfaat menerusi program itu dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM60.999 juta,” katanya.

Ewon berharap usahawan yang menyertai Mini Karnival Usahawan IKS Sabah dapat memanfaatkan program berkenaan untuk mendapatkan maklumat, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan pemahaman mengenai keperluan pasaran.

Beliau berkata, aspek kualiti produk, pembungkusan, pensijilan dan pemasaran perlu terus diberi perhatian bagi membolehkan perniagaan berkembang secara mampan dan berdaya saing.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles