KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan komitmen kebajikan dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 penerima asnaf sempena Ramadan 2026 dalam satu program yang berlangsung di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan, di sini, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, yang berkata Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah medan memperkukuh semangat kebersamaan, keprihatinan dan solidariti sosial dalam kalangan masyarakat.
“Wanita GRS komited untuk terus membantu golongan memerlukan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar. Bantuan ini mungkin kecil nilainya, namun diharap mampu meringankan beban penerima dan memberi makna besar kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, usaha kebajikan seharusnya diperkasakan secara kolektif dengan penglibatan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bukan digalas oleh satu pihak sahaja.
“Selain sumbangan kewangan atau barangan, pihak swasta dan GLC digalakkan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan agar amalan kebajikan menjadi budaya, bukan bermusim,” katanya.
Dalam majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Datuk Surinam Sadikun bagi mewakili Parlimen Beaufort (50), Sipitang (50) dan Kimanis (50), manakala Salmah Sait mewakili Parlimen Putatan (50) serta Perkumpulan Perempuan Sabah (100).
Turut hadir ialah Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot, serta para penerima sumbangan. Program kebajikan itu mencerminkan usaha berterusan Wanita GRS dalam mendekati rakyat dan memperkukuh jaringan sokongan komuniti, selaras agenda kebajikan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
–TAMAT

