KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melancarkan Program Wanita Peduli dengan memulakan siri jelajahnya di Kampung Lobou 1, Menggatal, pada Sabtu.
Program berkenaan bertujuan memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti, khususnya golongan B40, melalui pendekatan turun padang serta kerjasama dengan PEKA B40.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif rawatan kanser serta bantuan pengangkutan kepada peserta yang layak.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan keperluan terhadap inisiatif yang mendekati rakyat secara langsung.
Pengerusi Induk program, Puan Simi Linggom berkata, tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk Kampung Lobou adalah amat membanggakan.
“Tahniah kepada warga Kampung Lobou atas tahap kesedaran kesihatan yang tinggi dalam kalangan penduduk.
“Majoriti yang hadir telah menjalani saringan kesihatan di klinik terdekat, menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan diri,” katanya.
Simi berkata, Program Wanita Peduli akan terus dilaksanakan secara berterusan di lokasi berbeza bagi memastikan lebih ramai komuniti mendapat manfaat.
“Program ini akan diperluaskan ke daerah-daerah lain supaya manfaatnya dapat disampaikan secara lebih meluas dan inklusif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan Program Wanita Peduli,” katanya.

