Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Wanita Gagasan Rakyat sokong penuh kepimpinan Hajiji

Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

KOTA KINABALU:Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang juga Presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dalam menerajui pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan Wanita Gagasan Rakyat hari ini, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji yang berjaya membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesinambungan pembangunan negeri.

Sehubungan itu, seluruh jentera serta kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat di semua peringkat digesa untuk terus memperkukuh kesatuan dan disiplin perjuangan demi memastikan agenda kerajaan dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.

Wanita Gagasan Rakyat menegaskan sokongan padu mereka amat penting bagi menjamin pelaksanaan agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah secara tersusun dan berterusan.

Dalam pada itu, pergerakan tersebut turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan jemaah menteri Kerajaan Negeri yang mengangkat sumpah Isnin lalu, sambil menyatakan keyakinan terhadap keupayaan Kabinet baharu itu dalam menangani isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas.

“Kami berharap barisan Kabinet Negeri yang dilantik dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu asas rakyat, di samping memantapkan inisiatif kebajikan, memperkukuh agenda pemerkasaan wanita, pembangunan belia serta meningkatkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan sumber negeri secara berhemah,” menurut kenyataan itu.

Wanita Gagasan Rakyat turut menegaskan kepentingan untuk kerajaan negeri terus konsisten memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Wanita Gagasan Rakyat yakin tempoh lima tahun pentadbiran akan datang bakal menjadi saksi kepada keupayaan Kerajaan GRS Plus membawa Sabah ke arah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing demi kepentingan rakyat serta masa depan generasi akan datang,” menurut kenyataan itu lagi.

— TAMAT

Exit mobile version