KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyambut baik Belanjawan Sabah 2026 yang memperuntukkan RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) bagi memperkukuh agenda kebajikan, kesejahteraan sosial serta pemerkasaan wanita di negeri ini.
Menurut kenyataan itu, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, termasuk sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengoperasian institusi kebajikan serta pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Antara projek penting yang diberi perhatian ialah pembinaan Taman Didikan Kanak-Kanak Kelainan Upaya di Daerah Nabawan, yang disifatkan sebagai langkah inklusif dalam memperluas akses pendidikan dan penjagaan awal kepada golongan berkeperluan khas.
Dalam aspek pembangunan dan pemerkasaan wanita, Wanita Gagasan Rakyat turut mengalu-alukan peruntukan RM8.24 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi tujuan operasi serta pelaksanaan pelbagai program strategik sepanjang tahun 2026.
Antara inisiatif baharu yang bakal dilaksanakan termasuk:
- JHEWA BizBloom bagi pembangunan ekonomi wanita khususnya ibu tunggal dan wanita B40;
- Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul;
- Program Kepimpinan Wanita Berwibawa;
- Program Latihan dan Kemahiran Usahawan; dan
- Program Pembangunan serta Promosi Produk Usahawan Wanita.
Selain itu, di bawah RMKe-13, JHEWA turut diluluskan siling peruntukan RM1.80 juta bagi Projek Pembinaan Bangunan Asrama Wisma Wanita Fasa 2, dengan RM500,000 diperuntukkan pada 2026 untuk memulakan kerja-kerja awalan pembinaan.
Dalam masa sama, Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukkan RM12.12 juta bagi tujuan pengoperasian serta penerusan Program Kredit Komuniti, yang terus memberi manfaat kepada golongan wanita berpendapatan rendah yang menjalankan perniagaan kecil bagi menjana pendapatan keluarga.
Wanita Gagasan Rakyat turut menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 sebagai bukti keupayaan Kerajaan Negeri mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin dan mampan, apabila belanjawan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, sekali gus merekodkan lebihan RM28 juta dan mengekalkan kestabilan fiskal negeri.
Menurut kenyataan itu, Belanjawan Sabah 2026 diyakini akan terus memperkasa peranan wanita sebagai pemangkin pembangunan negeri, di samping meningkatkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat Sabah secara menyeluruh.
— TAMAT

